Thursday, November 01, 2007

Selamat Tinggal blospot

Move.

Motivasi asalnya digubah dari perkataan ‘move’. Yakni bergerak. Motivasi ialah suatu magnet atau tenaga yang menjadi daya penggerak. Untuk berubah dan menjadi lebih baik.

Mungkin sebab itu jugalah aku dan sekutu-sekutu aku suka berpindah randah. Nabi juga berpindah dari Mekah, mula-mula ke Thaif kemudian ke Madinah. Kemudian kembali pula ke Mekah.

Anam dah pindah. Aku gembira sebab tiada lagi mata-mata yang akan perhatikan jam berapa aku balik malam. Atau siapa yang aku angkut. Opps!. Tapi kegembiraan itu sedikit. Sedang ke’tidak gembiraan’ itu melebihi dari paras gembira itu. Seperti keburukan arak itu melebihi kebaikan yang ada di dalamnya.

Pindah. Pindah. Pindah lagi. Dan pindah.

Aku bimbang juga sejak ada orang melayu berjaya jejak kaki ke bulan. Esok-esok ada yang gatal mulut suruh pindah ke bulan. Aku carut juga nanti.

Dan blog aku pun nak pindah lagi. Dari blog-city yang ngada-ngada suruh penggunanya bayar mulai tahun depan ke blogspot yang antaramukanya ‘mak ai’ pening kepala. Kini aku beralih ke wordpress. Nampak lebih mudah. Klik sini untuk ke blog baru.

Aku sedang baca :

1. Ziarah : Iwan Simatupang, kelasnya sama seperti Perburuan, Ananta Toer.

1. Teori dan Teknik Terjemahan : Ainon Mohd, kalau kau rasa hanya pandai dan mahir dua bahasa melayakkan kita menjadi penterjemah yang baik, maka andaian itu jauh meleset. Kemahiran dua basaha hanya mewakili separuh dari kelayakan itu.

Aku baru habis baca :

1. Kemahiran Memimpin : Abdullah Hassan & Ainon Mohd, dan air liur aku sedang berkecur apabila PTS baru ulang cetak Teori dan Teknik Kepimpinan oleh penulis yang sama. Apakan daya gaji aku sehari hanya RM 10.00.

Monday, October 22, 2007

Yang membuat aku gembira pagi ini

Pagi ini bermula dengan sesuatu yang tidak menggembirakan aku. Malam sebelumnya pun sudah tidak menyeronokkan. Hidayat sms kata dia akan ada urusan keluarga pada dua pagi berturut-turut. Sah lambat. Tanpa apa-apa urusan pun dia selalu lambat. Inikan pula dengan urusan dan alasan kukuh. Selepas Izat, Yo Mei, Hidayat pegang takhta.

Erma. Tak pernah-pernah dia buat hal. Pagi ini sms. Kata tak dapat masuk kerja. Ada urusan kecemasan keluarga di kampung. Dan aku yakin ia benar, sebab Erma tidak pernah bua hal begini melainkan kalau betul2 cemas.

Dan aku minta Hidayat gantikan Erma.

Itu semua tidak gembira.

Yang gembira ketika aku membeli ayam di Kedai Runcit Taman Dahlia.

‘Abang! Tolong buang jaket dio ni. Dio sojuk’, kata sorang lelaki separuh umur dalam longat Minang.

Dia merujuk kepada ikan cencaru yang dibelinya. Dia minta abang jual ikan itu membuang jaket, yakni sisik keras ikan jaket, satu nama lain bagi ikan cencaru.

Sambil menggapai beg palstik berisi ayam aku berlalu dengan hati yang melantun-lantun, bukan kerana membaca komik senyum kambing Utusan, tetapi dengan keletah orang-orang marhaen, bak kata Sukarnoe.

Wednesday, October 17, 2007

1998 dan 2007

1998

Seminggu selepas berpindah dari madid ke semekasri, aku pulang ke kampung dan melawat madid. Jumpa kawan-kawan dan laman-laman yang sudah putus untuk aku tinggalkan. Dan detik itulah hati aku meronta-ronta dan berguling-guling di atas laman tar yang menjadi tempat budak-budak bermain takraw saban petang. Aku mahu pulang. Mahu kembali ke madid semula.

Itulah faktor yang paling utama dan kuat, untuk aku membuat ‘comeback’ (ceh!). Sebab aku kembali menoleh ke belakang sebelum aku cukup kuat untuk melupakan kenangan dan ingatan di sekolah lama. Dan mungkin itu sebenarnya yang menjadi faktor. Hanya itu. Mungkin!

2007

Bulan lima aku tinggalkan Flet Taman Utama. Sekarang sudah masuk bulan sepuluh. Hanya kira-kira lima bulan. Dalam 5 bulan ini aku mengepek barang dua kali. Menaikkan barang ke atas lori dua kali.dan menurunkan barang dari lori juga dua kali. Dari Pulau Pinang ke Pasir Gudang. Dan kemudian ke Seremban. Dan aku ziarah Pulau Pinang raya kali ini.

Kau tahu betapa jantung aku berdenyut seperti umpan kail dipagut muncung phirana yang sedang lapar. Begitulah ibaratnya. Melalui Greenlane yang panjang dan penuh dengan lampu isyarat. Jalan Datuk Keramat, Kampung Makam, Minden Height, USM dan Pulau Tikus semua itu aku lalui. Dan sepanjang-panjang jalan itulah tar yang kelabu itu menjadi basah dan merah dengan curahan kepedihan hati aku yang mengalir mencurah.

Sangat menyasyikkan dan pedih.

Aku kata : Sekiranya diberi peluang, aku mahu kembali mendiami Pulau Mutiara ini. Ya Aku mahu kembali, mengutip cinta yang bertaburan. Entah kensampaian. Mungkinkah kesempatan.

Will You Still Love Me Tomorrow?

Yang Bisa Bikin Aku Senang

Tahulah aku

Tahukah kalian?

Yang mampu membuat berasa senang ketika bergaul dengan orang banyak… bukanlah kerana rupa parasnya yang cantik. Indah. Kacak dan bergaya. Atau cantik jelita bermata redup serta berdagu panjang.

Bukan yang harum tubuhnya disembur setengah liter minyak wangi jenama mahal-mahal. Tidak juga yang mengenakan tali pinggang seharga sehelai seluar. Pun bukan juga kerana ‘body language’ yang menggoda dikenakan susuk tubuh munggir menawan, tinggi dan slim.

Bukan.
Bukan.
Bukan.

Seperti yang dinyanyikan Ziana Zain.

Tahulah aku.

Bahawa yang mampu membuat aku berasa tenang dan senang berganding dengan susuk tubuh yang mampu bicara. Menyusun kata dengan baik. Menutur idea dengan jelas dan teratur. Satu demi satu.

Yang membuat aku senang sekali untuk duduk bicara tentang Tuhan-Nabi-dalil, tentang alam, tentang diri, tentang dunia, tentang budaya, tentang vocal-soprano-falsetto, tentang lateral thinking-persuasif-jeda nafas, tentang art direction-sinematografi-ida nerina, tentang ayam-puyuh-pelanduk, tentang tentang tentang bagaimana memberi makna kepada hidup.

Bukan sekali tentang saiz bra atau eksober. Juga bukan tentang objek bulat yang dighairahi puluhan lelaki-lelaki macho (kononnya).

Tidak dan tidak.
Bukan dan bukan.

P/S :

1. Hidayat ! Pulangkan buku Memulakan Bisnes Sendiri
2. Edy ! Pulangkan buku Mendorong Diri Sendiri
3. Radzi ! Pulangkan novel Perburuan
4. Fady ! Pulangkan dvd dan buku Motivasi Fadhilah Kamsah
5. Amzari ! Pulangkan buku Memotivasikan Pekerja
6. Sesiapa yang meminjam siri dvd Desperate Houseweives 2

Tuesday, October 09, 2007

Mitos Melayu

Sifu kata bukan orang kita tidak suka membaca, sebaliknya bukunya yang tidak ada. Akhirnya aku tersedar dan setuju.

Ketika aku mahu membuang sampah dari halaman rumah, habis satu pekan Senawang aku jelajah. Namun mahu menemukan sebiji tong sampah besar, haram berjumpa. Dan aku pun buat fatwa semasa yang baru. Bunyinya; bukan orang kita yang tidak punya kesedaran sivik membuang sampah merata-rata, sebaliknya tong sampah itu yang tidak ada.

Penjelasan : Cuba kita pergi ke mana-mana pasaraya ataupun tempat rekreasi awam, adalaha cukup sukar untuk menemukan tong sampah buat mengisi sampah. Jika ada pun (aku kata jika ada) akan didapati tong sampah itu sudah tidak boleh diisi dengan sampah lagi akibat kerana terpenuh dengan sampah juga adanya.

Yang disalahkan ialah orang yang mahu membuang sampah!

Dan, orang kata orang Melayu tidak menepati masa. Ini mitosnya. Dan mitos ini sukar sekali dinafikan akan kebenarannya. Mahu disalahkan kerana jamnya tiada ? atau henponnya tidak di’set’kan masa yang tepat? Ataupun Tun Mahathir yang bersalah kerana mengada-ngada mengawalkan waktu ketika mula-mula menjawat ketua negara.

Labels:

Keparat

Dalam Al-Qur’an tidak sedikit ayat-ayat Allah yang menyebutkan tentang berfikir. ‘Apakah kamu tidak berfikir?’. ‘Apakah kamu tidak berakal?’. Berapa banyak kali Allah menyebut tentang berakal dan berfikir, namun sayang hari ini satu-satunya perkara yang paling malas dilakukan oleh manusia ialah berfikir.

Berfikir membentuk perspektif, sudut pandang berbeza tentang satu-satu perkara. Semakin banyak maklumat dan semakin banyak kita berfikir dan men’taakul (menilai) makanya semakin banyak sudut pandang yang kita dapat. Dan semakin banyak perspektif , maka semakin jelas, tepat dan relevan sesuatu pendapat.

Seperti kisah si buta dengan seekor gajah. Semakin banyak si buta sentuh maka semakin jelas akan rupa bentuk gajah. Sayang, kalau yang dipegang hanya belalai, atau perut atau ekor. Semuanya akan jadi benar, namun tidak tepat secara keseluruhannya.

Dari perspektif yang luas dan berbagai inilah akan menghasilkan keputusan yang lebih tepat dan relevan. Itulah sebabnya chef masakan tidak memasukkan gula untuk memaniskan masakan, sebaliknya garam. Garam berfungsi untuk ‘pecah rasa’. Tanpa perspekti yang menyeluruh, kita hanya faham garam hanya sebagai agen pemasin. Begitu juga memasak sambal dengan air paip dan air masak, hasil masakan nyata sungguh berbeza.

Inilah yang dinamakan kreativiti.

Kadang-kadang sesuatu yang disangka masalah, sebenarnya ternyata bukan isu sebenar.

Tun Dr Mahathir, ketika mula-mula mejadi ketua negara melakukan beberapa peubahan drastik dalam pentadbirannya. Yang dianggap sebagai mudah dan enteng. Antaranya mencepatka putaran jam 30 minit lebih awal dan mewajibkan staf kerajaan memakai nametag.

Aku, antara beberapa perhatian utama selepas menjawat ketua organisasi ialah untuk ; merper’tepat’kan jadual pembayaran gaji dan mencutikan pekerja dengan kadar yang selayaknya.

Mus sudah aku jadualkan bercuti sejak minggu lepas. Sebelum ini cutinya dibekukan atas alasan Ramadhan. Hidayat akan cuba aku cutikan juga. Semoga dengan pembayaran gaji yang tepat dan cuti yang mencukupi mampu memangkin meningkatkan kualiti kerja.

‘Apa yang kita mahu, maka kita beri dahulu’.

Aku usahakan beri dahulu, mudah-mudahan Allah permudahkan urusa untuk meningkatkan kualiti kerja.

Labels:

Monday, October 01, 2007

Waktu berbuka puasa dan kawasan yang sama waktu dengannya

Ramai yang teruja dengan suara Hazami, yang sebelumnya kebiasaanya meminati lenggok Anuar Zain yang melebih-lebih (bak kata Roslan Aziz). Mendengar Hazami adakalanya ‘easy listening’. Tidak pada Anuar Zain. Aku susah memilih koleksi lagu syahdu Anuar untuk dibawa ke tidur.

Tapi Imran Ajmain lain. Dah agak lama aku tidak teruja dengan suara penyanyi yang ‘baru’ masuk padang nyanyian. Lirik-liriknya sungguh puitis dan melayu. Falsetto nya lebih indah (pada aku la) dari Kaer.

Sungguh menyamankan mendengar lagu Ghaibmu. Aku ulang-ulang dengar. Seperti mentera yang dibacakan untuk melelspksn kelopak mata aku yang sudah lama jegang dan degil untuk lentok.

Seribu Tahun yang menjadi lagu tema sebuah drama tivi yang aku tak suka, tapi lagunya sungguh indah, mengalir dan yang lebih mengujakan aku, Imran Ajmain dan banyak penyanyi Singapura lain sangat baik penggunaan Bahasa Melayunya, siap dengan pantun-pantin lagi. Berbanding penyanyi Malaysia (baca : penulis lirik)!

Banyaklah orang menanam pulut
Saya seorang menanam padi
Banyaklah orang karam di laut
Saya seorang karam di hati

Aku tak kisahlah Imran Ajmain ni hensem atau tidak, yang pasti suaranya mengujakan.

Sempena bulan puasa ini aku kepingin untuk duduk-duduk di atas tikar beranyam sambil mengadap makanan terhidang sementara menunggu waktu berbuka. Iya!. Duduk-duduk bersila. Menanti detik-detik berbuka puasa.

Aku akan berikan detik-detik itu kepada Hidayat seketika dan yang lain-lain yang aku mampu.

Friday, August 31, 2007

50 tahun merdeka

Sama saja. Tiap-tiap tahu sambut ulang tahun merdeka sama sahaja. Bahkan sama saja dengan apa-apa sambutan yang memuja ketik jarum saat dan minit. Tahun baru begitu juga. Duduk dongak menyembah alat menunjuk waktu. Dan tiba-tiba hlang waras melonjak-lonjak. Horey… sudah tahun baru. Horey… sudah merdeka sekian-sekian tahun.

Letup bunga api dan mercun besar. Melonjak-lonjak lagi. Berhimpit-himpit. Bersendat-sendat. Dan bergesel-gesel. Berpeluh-peluh. Melekit, meleleh dan memancut.

Biar 1000 tahun pun, ia tidak akan punyai apa-apa erti mahu makna seandainya perayaan merdeka hanya diisi dengan pidato kempen politik sambil mengibar bendera berjalur-jalur yang akhirnya dikeronyok-keronyok masuk ke bakul sampah. Tidak percaya! Bukan kalian yang memungut sampah setiap awal pagi. Tanya kepada yang memungut.

Bendera dan bunga api. Itulah makna merdeka.

Mak aku lahir 6 tahun sebelum merdeka. 8 tahun kemudian baru arwah opah meneran abah keluar.

Setiap kali emak mengenang merdeka ialah makan ubi kayu yang digaul dengan nasi yang ditanak. Jarang sekali dapat jamah nasi. Itupun sorok-sorok ditanam dalam tanah. Dan jarang-jarang itu opah mengambil bahagian kerak, memberi nikmat nasi kepada suami dan anak-anak.

Sampai hari ini, hari selepas 50 tahun merdeka, kalau opah masak nasi makan ramai-ramai opah akan ambil yang kerak. Dan fe’el itu melekat pada aku. Suka makan nasi yang kerak-kerak. Hangitnya itu seperti garing dan rangup.

Dan merdeka pada abah ialah ketika muncung senapang patah diacukan atuk ke kepalanya, hanya kerana abah meminta wang untuk membeli buku sekolah. Kata atuk, ‘Kau pergi menoreh getah, kemudian beli buku’.

Atuk sebak ketika menukilkan versi kisah ini. Katanya keadaan sangat menghimpit. Bukan tidak mahu anak-anak sekolah tinggi. Bukan!. Namun takdir menulis perjalanan hidupnya begitu.

Dan hari ini abah dan emak, menjadi inspirasi kepada aku tentang makna sebuah kemerdekaan. Abah tak pernah tengok percikan bunga api secara live. Emak juga begitu. Tapi mereka lebih faham. Mungkin lebih faham dari pemidato yang melompat diatas sana.

Bapakku Khairi juga. Tapi Khairi yang diatas pentas itu sangat meloyakan tekak aku. Malam merdeka itu syahwat ku hilang untuk beberapa jam. Uwek.

Wednesday, August 29, 2007

Yang membuatkan aku gembira (Bahaga kedua yang tertangguh)

Edy, berkali-kali menanyakan dengan nada mendesak, ‘Kenapa kau tak sambung cerita-cerita yang kau janjikan nak sambung hari itu?’.

Belum sempat aku jawab dia tembak lagi, ‘Banyak kali kau buat begitu, tunggu punya tunggu tak de pun’.

Masa dia menyudahkan perkataan terakhir aku sudah pun terguling dengan darah membuak-buak keluar dari mulut aku.

Ini kisah kedua yang menggembirakan aku.

Haji Sidek. Seorang Pak Gard pencen. Buka gerai di belakang Pasar Borong Pandan. Abang lori strawberi yang intro pada aku. Katanya fames dikalangan drebar lori yang memunggah barang di pasar borong.

Satu hari aku berbual-bual dengan Haji Sidek. Dia nak naik haji, maka nya makanan dan minuman yang dijual sangat murah dan berpatutan. Juga sedap.

Banyak yang kami bualkan. Lebih tepat Haji Sidek sebenarnya ‘sekolah’kan aku. (Sekolah dalam ayat orang Johor bermakna berleter @ berceramah @ menasihat). Dari isu tiang pembahagi jalan yang bengkok dilanggar cina mabuk di waktu subuh sehinggalah kepada soal budaya, mentaliti dan (wow!) paradigma.

Ingat ini Haji Sidek, jaga pencen yang berniaga gerai makan tepi sungai yang sudah sangat tercemar. Bukan manager Coffee Bean atau CEO konglomerat besar. Bukan juga kisah siapa yang dikurniakan darjah Dato’ Tan Sri ataupun , pegawai pejabat mufti yang bercerita tentang kereta baru yang ditukar. Mana lebih sedap BMW atau Mercedes.

Banyak lagi yang dibualkan. Besar sungguh jiwa orang tua berperut bulat ini.

Setiap kali aku turun pasar borong untuk mengambil stok strawberi dari Cameron Highland pasti aku akan ambil kesempatan ini untuk minum, bersarap dan mendengar cerita-cerita dari Haji Sidek.

Dan tiap-tiap pagi Haji Sidek akan asingkan sepinggan nasi dan beberapa ketul lauk digaulkan untuk dihidangkan kepada dua ekor anjing liar yang berkeliaran di sekitar gerainya.

Haji Sidek seorang yang menginspirasikan. Semoga Tuhan memberikan ganjaran yang selayaknya buat amalanmy.

Ita Anak Angkat Emak

Bukan emak saja-saja mencari anak yatim untuk ditaja. Kerana menjaga kakak yang menjadi permata jantung hatinya itupun sudah cukup mengisi masa emak buat melalukan amal jariah. Tapi selepas berpindah, bagai disusun-susun Waida membawa pulang seorang kawannya sekali lagi ke rumah. Itulah Ita. Tidak disangka terus melekat menjadi anak angkat emak yang kedua selepas emak.

Ita. Sebaya adik bongsu aku. Tika itu Tingkatan 1. Sek Men Keb Slim River. Ayah Ita meninggal dalam satu kemalangan jalan raya. Beberapa bulan selepas itu ibunya pula nya menyusul ayahnya kerana sakit yang tidak dipastika puncanya. Selepas itu adik beradik Ita bertaburan dijaga oleh ibu dan bapa saudara mereka. Hanya Ita yang menetap di rumah aku.

Ita cantik. Kulit sawo matang. Baik. Menyayangi emak dan kakak. Kadang-kadang terasa lebih dari kami adik beradi menyayangi emak. Setiap tahun Ita yang paling dulu mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada emak angkatnya. Mungkin yang kehilanga lebih memahami akan hakikat kehilangan itu. Berbanding kami adik beradik yang lain. Tetapi selepas pemergian opah beberapa bulan lalu, aku makih mengerti tentang kasih sayang seorang ibu dan erti kehadiran dan kehilangan.

Masih segar wajah anak-anak opah.

Abah yang kepingin seorang lagi anak lelaki pernah menawarkan kepada adik-adik Ita untuk tinggal sekali. Ita kata tak mahu susahkan emak dan abah. Abah kata tak mengapa kita makan apa yang ada. Insya Allah cukup kata abah.

Tapi akhirnya hasrat itu tidak kesampaian sebab Ita tidak mahu adik-adiknya dipisah-pisahkan.

Kini Ita sekali sekala berhubung dengan emak. Dia menetap di sebuah rumah anak-anak yatim di Selangor bersama adik-adiknya. Sekali-sekala emak dan abah akan mengunjungi Ita di sana.

Labels: